Monday, November 22, 2004

Renungan Syawal

Ni aku amik dr website pakdi, sori tak mntak izin, tp utk pengetahuan semua tak kisah la.

1. Nape jemaah Islam diglr propmbkng?

Ini adalah masalah perlabelan sesetengah pihak terhadap gerakan-gerakan Islam untuk menakutkan orang ramai kepada gerakan. Di Malaysia, gerakan-gerakan Islam memang sering disinonimkan dengan pembangkang. Sebab utamanya adalah, PAS adalah gerakan Islam terbesar di Malaysia dan ia menggunakan wasilah politik.
PAS adalah salah sebuah gerakan Islam yang menyertai pilihan raya dan sistem demokrasi tidak menghalang kewujudan pembangkang. Pembangkang perlu wujud sebagai agen check and balance. Namun, pembangkang sering digambarkan sebagai anasir jahat, penghalang kemajuan negara, penghalang perpaduan, agen penghasut, golongan anti-establishment dalam negara dan tidak lagi sebagai satu elemen berkesan untuk mengekang pemerintahan kuku besi (dictatorship). PAS masih belum memerintah Malaysia, justeru ia merupakan salah satu parti pembangkang di peringkat Persekutuan namun di Kelantan hari ini, PAS adalah pemerintah dan Barisan Nasional (BN) pula adalah pembangkang.
ABIM dan JIM merupakan gerakan Islam lain yang wujud di Malaysia. Matlamat mereka sama dengan PAS iaitu menegakkan syariat namun dengan kaedah yang berbeza, iaitu mereka bergerak dalam bentuk Non-Governmental Organisation (NGO), dan bukannya parti politik.
Disebabkan matlamat mereka yang sama dengan PAS, lalu mereka juga digelar pro-pembangkang. Mana-mana organisasi Islam lainnya yang matlamatnya sama dengan PAS, akan dapat gelaran yang sama - pro-pembangkang. Malah, sekiranya PAS menarik diri dari pilihan raya, sudah tentu gelaran lain pula akan diberikan mengikut kesesuaian lain.
Ini adalah satu lumrah dalam hidup seorang pejuang Islam. Nabi Muhammad saw dahulu pun digelar dengan pelbagai gelaran buruk seperti ahli sihir, orang gila, pemecah belah masyarakat dan sebagainya. Tetapi gelaran itu semua tidak sama sekali menutup kebenaran Islam.
Kalau di negara-negara lain, gerakan Islam disamakan dengan gerakan keganasan. Apabila terjadinya sesuatu kejadian buruk, maka dengan cepat gerakan Islam dituduh mendalangi keganasan tersebut. Hal ini bermula sejak kejadian 11 September dan trend menyamakan gerakan Islam dengan keganasan semakin lama semakin hebat.
Maka, apabila kita sudah berdakwah dan digelar dengan pelbagai gelaran yakinlah sesungguhnya kita berada di jalan yang benar. Firman Allah swt:
Wahai orang-orang beriman, sesiapa di antara kamu yang berpaling dari agamanya, maka kelak Allah mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela, yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah diberikanNya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui. (al-Maidah:54)
Celaan dan perlabelan seharusnya tidak menjadikan kita lemah, tetapi kita seharusnya menjadi lebih kuat dan menganggap sebagai satu ujian bagi menjadikan kita seorang yang benar-benar iltizam dengan suruhan Allah dan RasulNya.

2. If orang bkn islam msk islam mrke diajar yang xde paksaan dlm islam,tp jike mreke murtad mreke dbunuh,bknkh itu paksaan agr mrk xkluar dr islam?
Ada 3 isu yang perlu dibincangkan.

1. Tiada paksaan dalam menganut agama IslamIslam sama sekali tidak memaksa mana-mana manusia menjadi Muslim. Terpulang kepada setiap individu untuk beriman kepada Allah dan Rasul ataupun tidak. Ini adalah jelas disebut dalam Quran.
Paksaan menganut agama Islam adalah berbeza dengan kewajipan melaksanakan tuntutan Islam. Seseorang yang masih belum Muslim, maka dia sama sekali tidak perlu bersolat, berpuasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan kewajipan lain. Malah sekiranya dilaksanakan undang-undang Islam, dia boleh memilih sama ada mahu dihukum dengan hukuman Islam ataupun tidak.
Namun, bagi mereka yang sudah menjadi Muslim, maka kita terikat dengan kewajipan untuk melaksanakan semua suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Tidak ada alasan bagi seorang Muslim untuk sengaja meninggalkan kewajipan yang difardhukan ke atas kita.
Namun, persoalan 'kebebasan dalam Islam' sering dikelirukan. Analogi mudah dengan kehidupan seorang tentera. Negara tidak pernah memaksa rakyatnya untuk menyertai tentera. Mahu jadi tentera atau tidak, itu pilihan masing-masing. Tetapi, apabila sudah menjadi tentera maka kita perlu patuh dengan undang-undang tentera. Ada masanya tentera perlu memakai pakaian seragam tentera dan ada masanya tentera dibenarkan memakai pakaian orang awam. Malah, ada ketikanya anggota tentera tidak boleh bercuti sama seperti penjawat awam yang lain.
Orang tidak pernah mempersoalkan undang-undang tentera kerana mereka faham. Tetapi Islam sering dicemuh 'tidak ada kebebasan' sebab menyuruh penganutnya menutup aurat, jangan berjudi, tidak boleh minum arak, tidak boleh berzina, dan sebagainya. Ini disebabkan orang yang mencemuh itu tadi tidak pernah faham tentang Islam. Sedangkan, semua orang Islam wajib untuk patuh dengan ajaran Islam seperti mana seorang tentera perlu patuh dengan undang-undang tentera selagi mana dia menjadi anggota tentera.

2. Keluar dari agama IslamKeluar dari agama Islam ataupun murtad merupakan jenayah yang besar dalam Islam. Murtad menandakan seseorang itu telah mungkir janji kepada Allah swt. Kalau berjanji sesama manusia dan ia dimungkiri pun boleh menjadi kesalahan, inikan pula berjanji kepada Allah, Tuhan dan Pencipta Alam ini.
Murtad hukumannya adalah bunuh. Namun bukan semua orang yang murtad ini terus dibunuh dan boleh dibunuh. Ada peringkat dan syarat yang tertentu.
Memilih untuk murtad sama sahaja dengan memilih untuk menjadi seorang pencuri dan jenayah lain. Nak murtad murtadlah, tetapi ada hukuman menanti. Nak mencuri pun mencurilah, tetapi ada hukuman yang menanti. Sebab ia adalah perbuatan jenayah yang digariskan dalam Islam. Kita tidak mampu menghalang seseorang itu murtad, tetapi apabila didapati bersalah tanpa sebarang syubhah, maka hukumannya adalah bunuh.
Orang murtad masih dihukum dengan hukuman Islam kerana dia melakukan jenayah semasa masih menjadi seorang Muslim. Maka, hanya undang-undang Islam sahaja yang boleh dilaksanakan terhadap kesalahan murtad itu tadi. Dia boleh lari dari pihak berkuasa, tetapi dia akan menjadi buruan akibat perbuatan jenayahnya.
Sama seperti seorang pencuri di negara kita. Kalaupun dia lari ke Singapura, dia masih dikehendaki sebagai penjenayah di Malaysia. Adakah perbuatan lari dari Malaysia membebaskan dirinya dari dihukum selaku seorang pencuri mengikut undang-undang Malaysia?

3. Tidak ada hukuman had sekiranya wujud syubhahSekiranya sesuatu kes murtad berlaku, maka ia perlu diselidiki. Perlaksanaan hukuman tidak berlaku sewenang-wenangnya. Hukuman bunuh itu tadi hanya boleh dikenakan sekiranya memang benar dia memilih untuk murtad setelah dia faham Islam. Sekiranya dia murtad dalam keadaan dia jahil terhadap Islam, maka tindakan lain seperti kaunseling, sesi penerangan terhadap Islam, sesi diskusi akan dilaksanakan.
Seorang graduan Syariah yang murtad adalah berbeza dengan seorang yang jahil agama yang murtad. Sama keadaannya seperti orang yang mencuri sebab kelaparan dan yang mencuri sedangkan dia boleh mencari rezeki yang halal lagi.
Justeru, apabila ada orang yang mahu kenal Islam, perkara asas yang perlu diajar adalah tauhid dan ibadah-ibadah khusus. Persoalan murtad bukanlah perkara paling penting untuk diajarkan kepada mereka yang mahu kenal Islam kerana asas-asas Islam tidak wujud lagi dalam diri mereka. Maka, apabila kita terus sebut hukuman murtad adalah bunuh maka sudah tentu ia akan menambahkan ketakutan terhadap Islam. Biarlah kemanisan menjadi seorang Muslim dirasai terlebih dahulu sebelum kita mengajar sesuatu perkara yang memerlukan kefahaman Islam yang jelas.
Nak jadi jurutera pun, kena mahir tambah tolak bahagi darab terlebih dahulu. Mana mungkin kita boleh mengajarkan seseorang itu ilmu algebra, trigonometri, bulatan dan sebagainya kepada budak darjah 1. Sudah tentu, budak darjah 1 tadi akan berasa takut dengan subjek matematik sebab merasai susah dalam pembelajaran. Biarlah budak darjah 1 merasai seronok bermain dengan nombor dahulu dan apabila asas matematik sudah kukuh, barulah subjek seperti pure math diajar di peringkat yang lebih tinggi bukan?
Wallahua'lam

No comments: